KEKURANGAN ITU SATU KESEMPURNAAN…  

Saturday, November 29, 2008


Alhamdulillah…..setiap kali sahabatsejati merenung muhasabah diri dalam memberi peringatan membawa perubahan kepada diri dan sahabat, sahabatsejati memanjatkan seinfiniti kesyukuran kepada Ilahi kerana beruntungnya diri ini dikurniakan pelbagai nikmat yang mana sehingga hari ini masih diberikan nikmat yang terbesar iaitu nikmat iman dan nikmat islam dan diri ini sentiasa berdoa agar jika diri ini mati, matilah dalam keadaan beriman kepada-Mu ya Allah..amin…kita ini perlu bersyukur kerana diberi nikmat anggota yang cukup dan sempurna. Mungkin orang lain tidak mendapat apa yang kita dapat. Walauapa pun, sahabatsejati percaya dan yakin bahawa setiap penciptaan Allah itu ada hikmah yang tersembunyi. Mungkin kita ada kelebihan pada satu sudut atau aspek dan mungkin kurang pada sudut yang lain. Semua itu kehendak Allah dan dibawah perancangan-Nya.

Mungkin hari ini sahabatsejati ingin berkongsi cerita mengenai kekurangan itu adalah satu kesempurnaan untuk sama-sama kita melihat diri dan memotivasikan diri yang mungkin dah basi, kearah keredhaan Ilahi.

Ceritanya begini, seorang pengangkut air memiliki dua tempayan besar. Tempayan tempayan berkenaan tergantung pada kedua hujung sebatang kayu yang dibawa menyilang di atas bahunya. Satu dari tempayan itu retak dan satu tempayan yang satu lagi tidak retak. Tempayan yang tidak retak itu selalu dapat membawa air penuh setelah perjalanan panjang dari perigi ke rumah majikannya sedangkan tempayan retak hanya dapat membawa air separuh daripada isi tempayan itu.

Keadaan ini berterusan setiap hari selama setahun. Si pengangkut air hanya dapat membawa satu setengah tempayan air ke rumah majikannya. Tentu saja si tempayan yang tidak retak merasa bangga akan prestasinya yang dapat menunaikan tugasnya dengan sempurna. Sebaliknya, si tempayan retak yang malang itu merasa malu sekali akibat keadaannya yang tidak sempurna itu. Bahkan ia merasa sedih kerana hanya mampu memberikan setengah dari isi yang seharusnya dapat diberikan.

Setelah dua tahun tertekan oleh kegagalan pahit ini, tempayan retak itu berkata kepada si pengangkut air, “saya sungguh malu pada diri saya sendiri dan saya ingin memohon maaf kepadamu.”
“Kenapa?” Tanya si pengangkut air. “Kenapa kamu merasa malu?” tambahnya lagi.
“Selama dua tahun ini, saya hanya mampu membawa setengah kandungan air daripada yang seharusnya dapat saya bawa ini kerana adanya retakan pada sisi saya telah membuat air yang saya bawa bocor sepanjang jalan menuju rumah majikan kita. Kerana cacatku itu, saya telah membuatmu rugi.” Kata tempayan itu.
Si pengangkut merasa kasihan pada si tempayan retak itu dan dalam belas kasihannya, dia berkata, “jika kita kembali ke rumah majikan besok, aku ingin kamu memerhatikan bunga-bunga indah di sepanjang jalan.” Ketika mereka naik ke bukit, si tempayan retak memerhatikan dan baru menyedari bahawa ada bunga-bunga indah di sepanjang sisi jalan hingga membuatnya sedikit terhibur. Namun di akhir perjalanan, dia kembali sedih kerana mendapati isi tinggal separuh akibat kebocoran padanya. Lantas tempayan retak itu kembali meminta maaf kepada si pengangkut air di atas kegagalannya itu. Melihat rasa bersalah tempayan retak itu, si pengkut air berkata, “apakah kamu memerhatikan di sepanjang jalan sebelah sisimu terdapat bunga-bunga yang subur mekar, sedangkan tidak ada sekuntum bungapun yang wujud di sisi tempayan yang satu lagi di sepanjang jalan. Ini kerana, aku selalu menyedari akan cacatmu, lalu aku memanfaatkannya. Aku telah menanam benih-benih bunga di sepanjang jalan di sisimu dan setiap hari jika kita berjalan pulang dari perigi, kamu mengairi benih-benih itu. Selama dua tahun ini kau telah berjasa kerana aku telah dapat memetik bunga-bunga indah itu untuk menghias meja majikan kita. Tanpa kamu dan kecacatan yang ada ini, sudah tentu majikan kita tak akan dapat menghias rumahnya seindah sekarang.”

Setiap daripada kita memiliki cacat dan kekurangan sendiri. Kita semua adalah tempayan retak. Namun jika kita mahu, Allah s.w.t berkuasa memanfaatkan kekurangan yang ada pada kita untuk mendatangkan kebaikan kepada manusia lain dan makhluk-Nya. Di sisi Allah yang Maha Bijaksana, tidak ada suatu yang ditakdirkan-Nya terbuang percuma atau sia-sia. Oleh itu, jangan rasa bersalah, takut atau rendah diri dengan kekurangan atau kecacatan yang ada pada kita. Apa yang penting ialah cuba berusaha mengenali setiap kelemahan itu dan pastinya kita juga menjadi sebahagian daripada sarana keindahan Allah swt. Ketahuilah bahawa dalam setiap kelemahan kita juga boleh ditemui kekuatan dengan izin Allah swt.

Setiap pembangunan ummat pastinya dimulai dari satu peringkat yang lemah. Kita tidak mungkin mencapai sesuatu terus kepada peringkat yang tertinggi jika ia tidak dimulai dengan sesuatu yang lemah ataupun yang asas. Boleh ke nak membaca kalau huruf a, b , c pun masih tidak kenal dan tak tahu?

Sahabatsejati seringkali teringat kata-kata orang yang terdahulu, sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Ni biasa dengar kalau nak memotivasikan diri supaya menabung kan…tapi bila sahabatsejati fikir punya fikir kata-kata ini bukan saja boleh digunakan untuk menabung tetapi boleh juga digunakan untuk memotivasikan diri dalam kehidupan seharian. Contohnya kalau nak berubah dari sikap yang buruk kepada yang baik mungkin susah bagi sesetengah orang dan mungkin juga senang bagi sesetengah orang. Namun jika perubahan kea rah kabaikan itu dilakukan sedikit demi sedikit dengan istiqomah atau berterusan, insyaAllah akan nampak perubahan yang kita inginkan walaupun nak lakukannya susah…tapi tak mustahil…batu yang keras pun bila ditimpa air lama-lama berubah juga bentuk batu itu. Allah telah menjanjikan kepada kita yang susah itu pasti ada kesenangan.

“ Maka sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan.” (Al-Insyirah : 5-6)

Mari kita muhasabah balik diri kita, sejauh mana kesyukuran yang kita panjatkan kepada yang Maha Esa atas nikmat yang diberikan kepada kita selama ini. Kita dijadikan sebagai sebaik-baik kejadian dan janganlah pula kelebihan yang kita ada digunakan untuk kemudaratan dan kemusnahan. Jadilah insan yang bersyukur dengan menggunakan kelebihan dan kekurangan yang ada untuk lebih mendekatkan diri kepada Ilahi. Sama-sama kita berubah. Sudah tiba masanya berubah.


..................................sahabatsejati........................................

AddThis Social Bookmark Button


BUANG YANG KERUH AMBIL YANG JERNIH  

Saturday, November 22, 2008



Allahuakbar….susah betul untuk mencari ape tajuk yang nak diberikan bila mana teringat sejarah silam dan pengalaman yang pernah sahabatsejati lalui. Alhamdulillah, Allah masih berikan kekuatan kepadaku sementara menunggu azan subuh berkumandang untuk muhasabah diri kearah menghampiri Ilahi. Tapi aku percaya dan yakin bahawa setiap daripada kita tanpa mengira usia, latar belakang dan keturunan pastinya pernah mengalami pengalaman-pengalaman pahit mahupun manis. Mungkin ada yang pernah gagal dalam pelajaran, kematian orang disayangi, kehilangan panca indera, dibuli oleh rakan-rakan, ditimpa kemalangan dan lain-lain pengalaman yang memang tak habis kalau nak ditulis.

Selalunya pengalaman pahit ini mengubah persepsi dan sikap individu daripada periang bertukar pendiam, ceria menjadi duka, aktif menjadi pasif, suka berjenaka menjadi pemarah dan bermasam muka dan banyak lagilah perubahan dari yang baik kepada tidak baik. Namun, sesuatu yang perlu disedari ialah tangisan, kekecewaan, penyesalan dan kesedihan tidak mungkin dapat mengubah kejadian tersebut kerana ia sudah menjadi sejarah. Tiada suatu kuasa didunia ini yang dapat mengubah sejarah kerana masa yang lepas tidak mungkin diambil kembali kecuali yang Maha Berkuasa atas segala-galanya. Apa yang penting sekarang ialah menjadikan sejarah tersebut sebagai titik tolak menuju kejayaan yang lebih cemerlang dan gemilang pada masa hadapan.

Subhanallah….itulah masa. Banyak yang sahabatsejati pernah dengar tentang masa, masa itu emas, masa itu duit, masa itu ibarat pedang dan banyak lagi ungkapan dan pepatah yang menunjukkan betapa pentingnya masa untuk kita hargai dan penuhi..namun apa yang lebih penting adalah peingatan Allah dalam surah Al-‘Asr ayat 1-3 yang bermaksud;

“Demi masa. Sunggguh, manusia berada dalam kerugian,kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran.”

Sahabatsejati selalu berkata pada diri yang lemah ini bahawa apa yang sahabatsejati lakukan adalah bukan sia-sia tapi mendapat sesuatu yang berharga iaitu pengalaman. Pengalaman adalah guru terbaik untuk masa akan datang yang dapat mengajar kita erti kehidupan menuju ketaqwaan kepada yang Maha Esa. Segala kejadian yang menimpa dalam hidup bukanlah penamat kepada kejayaan sebaliknya pencetus mencapai kecemerlangan yang lebih bermakna. Apatah lagi ia mempunyai hikmah yang tidak sedari. Sebagaimana firman Allah dalam surah Al- Baqarah ayat 216 yang bermaksud…….

“…..Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah) Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu) sedang kamu tidak mengetahuinya”.

Jadi apa tunggu lagi…sudah tiba masa untuk berubah. Buang yang keruh ambil yang jernih. Sahabatsejati tahu sesungguhnya mereka yang berjaya ialah yang menjadikan sejarah silam sebagai cabaran untuk terus maju dan berjaya. Al-Quran sendiri menggunakan pendekatan sejarah dalam menyampaikan mesej dan pengajaran. Kisah-kisah para nabi dan umat-umat terdahulu banyak disebut dalam Al-Quran bahkan ada nama-nama surah yang diambil sempena peristiwa sejarah seperti Al-Anfal, Yunus, Ibrahim, Al-Israa’, Al-Kahfi, Maryam, Ar-Rum, Saba’ dan banyak lagi. Kesemua peristiwa sejarah yang disebut di dalam Al-Quran bukanlah sekadar untuk menceritakan semula atau supaya umat akan datang menjejaki semula tempat-tempat sejarah berkenaan. Sebaliknya, ia semata-mata bertujuan untuk diambil iktibar dan pengajaran kepada apa yang telah menimpa umat-umat terdahulu. Lantaran itu, diulang-ulang ungkapan “Apakah kamu tidak melihat”, “Apakah kamu tidak mengambil pengajaran”, “Apakah kamu tidak memikirkannya” dan sebagainya.

Subhanallah….sungguh besar dan agungnya Al-Quran ini tapi tidak ramai yang mengkaji kehebatan Al-Quran ini..

Exam dah habis dah… tunggu result plak…antara gembira atau kecewa…ape2 pun kita bersyukur la ye ape yang kita dapat nanti. Yang penting kita berusaha bersungguh-sungguh, berdoa dan tawakal kepada yang Maha Berkuasa.

GOD doesn’t require you to be “Be the Best”. HE just wants you to “Do your Best” and HE will take care the rest!. Then, SUCCESS is in your hand!.

….ayuh kita perlu bangkit…..bukan renung penyesalan sejarah tapi bangkit mencipta sejarah. Caiyoo!


………………………………sahabatsejati………………………………….

AddThis Social Bookmark Button


SENTIASALAH SIBUK MENDISIPLINKAN DIRI  



Sahabatku yang dikasihi dengan kasih sayang Islam.

Semoga Allah sentiasa memberkati serta merahmati kalian. Juga dibahagiakan dengan keredhaan-Nya. Sentiasa beroleh taufik, hidayah dan keimanan mendalam. Dihiasi ketakwaan yang tinggi yang mampukan kalian mematuhi perintah Allah disamping meninggalkan larangan-Nya.


Sahabatku yang mendamaikan hati serta menyejukkan pandangan!

Jadilah kalian penyuluh ke jalan kebenaran. Elakkan kaki kalian menuju ke lorong maksiat dan keingkaran. Pimpinlah tangan rakan-rakan ke jalan ketaatan serta kejayaan hakiki.

Sahabatku yang sentiasa gigih berusaha!

Dalam kesibukan kalian memburu cita-cita, ambillah sedikit waktu untuk meneliti hakikat kejadian kalian. Renungilah maksud firman Allah dalam surah az- Zariat, ayat 20-21:

“ Dan dibumi itu terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang yakin, dan juga pada dirimu sendiri. Maka apakah kamu tidak memerhatikan?”.

Dengan itu Allah memerintah supaya memikirkan penciptaan diri kita. Untuk apa kita diciptakan? Fikirlah tentang tanda-tanda kekuasaan-Nya dalam penciptaan makhluk-Nya yang lain. Fikirkan tentang penciptaan bumi serta segala yang terkandung di dalamnya. Seterusnya fikirkan tanda-tanda kekuasaaan Allah dalam penciptaan lautan yang mengandungi berbagai kehidupan yang bermanfaat kepada kita. Usah pula lupa untuk memikirkan kekuasaan Allah dalam penciptaan langit. Selidikilah sistem cakerawala supaya kalian merasai keajaiban ciptaan Allah. Sesungguhnya dengan memerhatikan setiap ciptaan Allah akan terbit rasa mengagungkan Allah yang tiada tolok bandingan. Ini akan melahirkan keinsafan di hati kalian seterusnya dapaat menghampirkan diri dengan Allah, menjadikan kalian Muslim dan sentiasa taat kepada perintah Allah.

Sahabatku yang akan mewarisi semula kegemilangan silam!

Sepanjang kesibukan kalian untuk cemerlang dalam pelajaran atau kerjaya, hayatilah maksud firman Allah dalam surah Al-Imran, ayat 191,

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, iaitu orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atu dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi seraya berkata “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari seksa api neraka”.

Oleh itu, sentiasalah meneliti serta menilai kualiti diri kalian kerana kalian tidak dijadikan untuk sia-sia. Adakah semua anggota badan yang Allah kurniakan telah digunakan sebaik-baiknya untuk mentaati Allah? Usahlah cuma mengingati Allah ketika genting sahaja. Fikirkanlah mengenai kewajipan sebagai hamba Allah. Gunakanlah segala kurnia Allah untuk melaksanakan ketaatan kepada-Nya. Terhadap dosa serta kesilapan yang pernah dilakukan, berazamlah untuk tidak mengulanginya. Sentiasalah bertekad untuk melaksanakan ketaatan dengan lebih baik pada masa-masa mendatang.


Sahabatku yang diharapkan menjadi bintang-bintang gemerlapan yang menyinari alam!

Marilah kita renungsebuah riwayat yang membentangkan keberuntungan umat Muhammad s.a.w. Nabi Adam a.s telah berkata, “sesungguhnya Allah kurniakan umat Muhammad empat kemuliaan yang tidak diberikan kepadaku;

# Allah menerima taubatku di Mekah sahaja tetapi umat Muhammad tetap diterima taubat dimana sahaja mereka berada.

# Aku berpakaian, apabila aku engkar dijadikanNya aku telanjang, tetapi umatMuhammad melakukan maksiat dalam bertelanjang tetapi Allah terus beri mereka pakaian.

# Apabila aku melakukan dosa, terpisah aku daripada isteriku tetapi umat Muhammad melakukan maksiat kepada Allah tidak dipisahkan mereka daripada isteri mereka.

# Aku melakukan dosa di dalam syurga dan dikeluarkan darinya, tetapi umat Muhammad melakukan maksiat kepada Allah di luar syurga, dimasukkanNya ke dalam syurga setelah bertaubat.

Sahabatku, akhir kalam renungkan syair ini:

Belajarlah,
Sebab manusia itu tidak dilahirkan terus menjadi alim.
Dan tiadalah orang alim itu dapat disamakan dengan orang jahil.
Sesungguhnya seorang ketua kaum yang tidak berilmu,
Dipandang kecil apabila dikelilingi orang biasa yang berilmu.



……..sahabatsejati……..

AddThis Social Bookmark Button


“Jangan Biarkan Diri Diajar JADI PAK TURUT”  


Tiba-tiba sahabatsejati teringat sebuah cerita yang pernah sahabatsejati baca..mungkin menjadi muhasabah dan panduan diri dalam perjuangan hakiki menuju redha ilahi.Ceritanya begini…….Seorang guru wanita berjilbab rapi kelihatan bersemangat mengajar sesuatu kepada murid-muridnya. Di tangan kirinya ada kapur dan tangan kanan memegang pemadam. Tiba-tiba, sang guru berkata, “ cikgu ada permainan. Begini caranya. Jika cikgu angkat kapur ini, maka berserulah “Kapur!” dan jika cikgu angkat pemadam ini, maka berserulah “ Pemadam!”.
Semua murid mengerti dan setuju mengikut apa yang dijelaskan oleh cikgu itu. Sang guru berganti-ganti mengangkat tangan kanan dan kirinya. Semakin lama dan bertambah cepat. Beberapa saat kemudian berhenti. Kemudian kembali bersuara, “ baik sekarang perhatikan!, jika cikgu angkat kapur maka katakana, “Pemadam” dan bila cikgu angkat pemadam, maka katakanya “Kapur!”.


Selesai penjelasan itu, sang guru mengangkat tangannya berulang kali, berselang-seli menunjukkan kapur dan pemadam. Kali ini, kelihatan murid-murid tadi keliru dan kekok. Mungkin agak kesukaran untuk mengatakan kapur itu pemadam dan sebaliknya. Namun, selang beberapa saat, permainan berhenti. Sang guru tersenyum kepada murid-muridnya. Dia menjelaskan apakah pengajaran di sebalik permainan itu.
“Anak-anak, begitulah kita umat islam, mulanya yang haq itu adalah haq, yang batil itu batil. Perbezaan ini jelas kepada kita, tetapi musuh telah memaksa kita dengan berbagai cara hingga menukar yang haq itu menjadi batil dan sebaliknya. Mungkin pada mulanya kita agak sukar untuk menerima perubahan ini, tapi setelah dibiasakan dan berterusan dengan cara yang menarik, akhirnya rasa kekok itu hilang. Kita boleh ikuti dan lakukan mengikut kehendak musuh kita.
“ Begitulah musuh-musuh pengaruhi pemikiran umat islam. Mereka ini tidak pernah berhenti dalam usaha jahat ini, hingga nilai dan etika hidup kita bertukar kepada apa yang mereka hajat. Buktinya, keluar berpasangan tanpa ikatan sah dan berkasih-kasihan kini tidak lagi dirasa pelik. Perbuatan zina tidak menjadi persoalan serius. Cara berpakaian yang mendedah aurat sudah dianggap lumrah. Semua ini dinilai sebagai hiburan dan trend. Fahaman meterialistik pula menular dan makin sebati dengan budaya hidup masyarakat kita hari ini.

Moga-moga Allah melindungiku, sahabat-sahabatku dan umat islam seluruhnya dan sentiasa diberikan petunjuk, hidayah dan taufik-Nya…amin.

…………………….……….….sahabatsejati……………….…………

AddThis Social Bookmark Button


KUAT KITA KUATLAH UMMAH  

Cuaca dan suasana amat berbeza
Susah nak pasti….
Mengikut Sunnah ia memang bergilir
Silih berganti….
Bagi si mukmin yang cekal lagi berani
Tiada putus hubungannya dengan Ilahi.

Kadang-kadang cuaca cerah dan panas
Semua ceria….
Kadang-kadang pula cuaca gelap dan hujan
Semua slow bersahaja…
Kadang-kadang dia mendung dan gerhana
Keliru dan alpa…
Kadang-kadang dia berkabut dan rebut
Sujud dan doa sahaja..

Apa kesan apa amalan
Tiada yang terbaik melainkan
Sikit-sikit tapi berterusan…
Itulah nasihat Rasul
Itulah pesan.

Kekadang mukmin boleh sempat berbicara,
Kekadang hanya sempat bertanya-tanya,
Kekadang boleh berdoa saja,
Tapi yang pasti…
Ruh ukhwah janganlah dipersenda.

Kekuatan kita bukan pada lahir
Dan ucapan berlirik
Hati yang hidup sentiasa dididik,
Sama ada seorang diri atau sebaliknya,
Pastikan diri tertingkat jangan asyik.

Kuat kita kuatlah ummah,
Lemah kita Ummah dijajah,
Marilah kita tingkatkan islah
Sama ada pada hati, akal, jasad dan ukhwah.

Hati rindu, cemas, sedih, segala perasaan
Maklumlah cuaca buruk dan pelbagai kesan,
Kadang-kadang kita lupa…
Dunia ini memang medan ujian,
Semoga Allah tingkatkan ilmu,
Kesedaran dan amalan.

Ya Allah…
Hidupkan hati-hati kami dengan kenikmatan
Seruan dan mujahadah di atas jalanmu.
Janganlah kau matikan kami
Melainkan dalam keadaan syahadah
Dalam erti yang benar…..amin.
………………………………………..sabahatsejati………………………………………………………………………………..

AddThis Social Bookmark Button


salam ukhuwahfillah....  

Mungkin hari ini mencatat sejarah...sahabatsejati memilih ruang untuk membuka minda bersama sahabat2 dalam mencari redha ilahi..sahabatsejati merasakan perlu berkongsi serba sedikit pengalaman, pelajaran dan pengajaran bersama sahabat, kerana aku percaya peringatan membawa perubahan! jadi buat sahabat2 salam ukhuwahfillah dari sahabatsejati...

“Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati”

Sahabat boleh menentukan corak hidup di dunia mahupun membawa ke akhirat.Jesteru, jika salah memilih sahabat diri merana dan sengsara. Rasullah s.a.w. bersabda

“Seseorang itu adalah mengikut agama temannya, oleh itu hendaklah seseorng itu meneliti siapa yang menjadi temannya” (HR Abu Daud)

Bak kata pepatah Arab:

“Bersahabat dengan penjual minyak wangi, kita akan menerima percikan wangiannya, manakala bersahabat dengan tukang besi, percikan apinya akan mencarikkan baju kita.”

Jadi bagaimana untuk mencari sahabat Ukhuwah Fillah? sahabatsejati teringat satu riasalah yang mencirikan bagaimana seorang sahabat yang baik. Seorang bijak pandai berpesan kepada anak lelakinya. “Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut:

· Jika engkau berbakti kepadanya, dia akan melindungi kamu.

· Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas balik persahabatan kamu.

· Jika engkau memerlukan pertolongan daripadanya, dia akan membantu kamu.

· Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik.

· Jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripada kamu, dia akan menghargai atau menyebut kebaikan kamu.

· Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada kamu, dia akan menutupnya.

· Jika engkau meminta bantuan daripadanya, dian akan mengusahakannya.

· Jika engkau berdiam diri (keran malu hendak meminta), dia akan menanyakan sesusahan kamu.

· Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahan kamu.

· Jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkan kamu.

· Jika engkau merancang sesuatu, nescaya dia akan membantu kamu.

· Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan.

· Dia membantumu menunaikan tanggungjawab serta melarang melakukan perkara buruk dam maksiat.

· Dia mendorongmu mencapai kejayaan didunia dan akhirat.

akhir kalam moga ikatan ukhwah yang terjalin mendapat keredahaan dari-Nya.Wassalam..

---------sahabatsejati--------------------

AddThis Social Bookmark Button


 

Design by Amanda @ Blogger Buster