SENTIASALAH SIBUK MENDISIPLINKAN DIRI  

Saturday, November 22, 2008



Sahabatku yang dikasihi dengan kasih sayang Islam.

Semoga Allah sentiasa memberkati serta merahmati kalian. Juga dibahagiakan dengan keredhaan-Nya. Sentiasa beroleh taufik, hidayah dan keimanan mendalam. Dihiasi ketakwaan yang tinggi yang mampukan kalian mematuhi perintah Allah disamping meninggalkan larangan-Nya.


Sahabatku yang mendamaikan hati serta menyejukkan pandangan!

Jadilah kalian penyuluh ke jalan kebenaran. Elakkan kaki kalian menuju ke lorong maksiat dan keingkaran. Pimpinlah tangan rakan-rakan ke jalan ketaatan serta kejayaan hakiki.

Sahabatku yang sentiasa gigih berusaha!

Dalam kesibukan kalian memburu cita-cita, ambillah sedikit waktu untuk meneliti hakikat kejadian kalian. Renungilah maksud firman Allah dalam surah az- Zariat, ayat 20-21:

“ Dan dibumi itu terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang yakin, dan juga pada dirimu sendiri. Maka apakah kamu tidak memerhatikan?”.

Dengan itu Allah memerintah supaya memikirkan penciptaan diri kita. Untuk apa kita diciptakan? Fikirlah tentang tanda-tanda kekuasaan-Nya dalam penciptaan makhluk-Nya yang lain. Fikirkan tentang penciptaan bumi serta segala yang terkandung di dalamnya. Seterusnya fikirkan tanda-tanda kekuasaaan Allah dalam penciptaan lautan yang mengandungi berbagai kehidupan yang bermanfaat kepada kita. Usah pula lupa untuk memikirkan kekuasaan Allah dalam penciptaan langit. Selidikilah sistem cakerawala supaya kalian merasai keajaiban ciptaan Allah. Sesungguhnya dengan memerhatikan setiap ciptaan Allah akan terbit rasa mengagungkan Allah yang tiada tolok bandingan. Ini akan melahirkan keinsafan di hati kalian seterusnya dapaat menghampirkan diri dengan Allah, menjadikan kalian Muslim dan sentiasa taat kepada perintah Allah.

Sahabatku yang akan mewarisi semula kegemilangan silam!

Sepanjang kesibukan kalian untuk cemerlang dalam pelajaran atau kerjaya, hayatilah maksud firman Allah dalam surah Al-Imran, ayat 191,

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, iaitu orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atu dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi seraya berkata “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari seksa api neraka”.

Oleh itu, sentiasalah meneliti serta menilai kualiti diri kalian kerana kalian tidak dijadikan untuk sia-sia. Adakah semua anggota badan yang Allah kurniakan telah digunakan sebaik-baiknya untuk mentaati Allah? Usahlah cuma mengingati Allah ketika genting sahaja. Fikirkanlah mengenai kewajipan sebagai hamba Allah. Gunakanlah segala kurnia Allah untuk melaksanakan ketaatan kepada-Nya. Terhadap dosa serta kesilapan yang pernah dilakukan, berazamlah untuk tidak mengulanginya. Sentiasalah bertekad untuk melaksanakan ketaatan dengan lebih baik pada masa-masa mendatang.


Sahabatku yang diharapkan menjadi bintang-bintang gemerlapan yang menyinari alam!

Marilah kita renungsebuah riwayat yang membentangkan keberuntungan umat Muhammad s.a.w. Nabi Adam a.s telah berkata, “sesungguhnya Allah kurniakan umat Muhammad empat kemuliaan yang tidak diberikan kepadaku;

# Allah menerima taubatku di Mekah sahaja tetapi umat Muhammad tetap diterima taubat dimana sahaja mereka berada.

# Aku berpakaian, apabila aku engkar dijadikanNya aku telanjang, tetapi umatMuhammad melakukan maksiat dalam bertelanjang tetapi Allah terus beri mereka pakaian.

# Apabila aku melakukan dosa, terpisah aku daripada isteriku tetapi umat Muhammad melakukan maksiat kepada Allah tidak dipisahkan mereka daripada isteri mereka.

# Aku melakukan dosa di dalam syurga dan dikeluarkan darinya, tetapi umat Muhammad melakukan maksiat kepada Allah di luar syurga, dimasukkanNya ke dalam syurga setelah bertaubat.

Sahabatku, akhir kalam renungkan syair ini:

Belajarlah,
Sebab manusia itu tidak dilahirkan terus menjadi alim.
Dan tiadalah orang alim itu dapat disamakan dengan orang jahil.
Sesungguhnya seorang ketua kaum yang tidak berilmu,
Dipandang kecil apabila dikelilingi orang biasa yang berilmu.



……..sahabatsejati……..

AddThis Social Bookmark Button


 

Design by Amanda @ Blogger Buster