KEKURANGAN ITU SATU KESEMPURNAAN…  

Saturday, November 29, 2008


Alhamdulillah…..setiap kali sahabatsejati merenung muhasabah diri dalam memberi peringatan membawa perubahan kepada diri dan sahabat, sahabatsejati memanjatkan seinfiniti kesyukuran kepada Ilahi kerana beruntungnya diri ini dikurniakan pelbagai nikmat yang mana sehingga hari ini masih diberikan nikmat yang terbesar iaitu nikmat iman dan nikmat islam dan diri ini sentiasa berdoa agar jika diri ini mati, matilah dalam keadaan beriman kepada-Mu ya Allah..amin…kita ini perlu bersyukur kerana diberi nikmat anggota yang cukup dan sempurna. Mungkin orang lain tidak mendapat apa yang kita dapat. Walauapa pun, sahabatsejati percaya dan yakin bahawa setiap penciptaan Allah itu ada hikmah yang tersembunyi. Mungkin kita ada kelebihan pada satu sudut atau aspek dan mungkin kurang pada sudut yang lain. Semua itu kehendak Allah dan dibawah perancangan-Nya.

Mungkin hari ini sahabatsejati ingin berkongsi cerita mengenai kekurangan itu adalah satu kesempurnaan untuk sama-sama kita melihat diri dan memotivasikan diri yang mungkin dah basi, kearah keredhaan Ilahi.

Ceritanya begini, seorang pengangkut air memiliki dua tempayan besar. Tempayan tempayan berkenaan tergantung pada kedua hujung sebatang kayu yang dibawa menyilang di atas bahunya. Satu dari tempayan itu retak dan satu tempayan yang satu lagi tidak retak. Tempayan yang tidak retak itu selalu dapat membawa air penuh setelah perjalanan panjang dari perigi ke rumah majikannya sedangkan tempayan retak hanya dapat membawa air separuh daripada isi tempayan itu.

Keadaan ini berterusan setiap hari selama setahun. Si pengangkut air hanya dapat membawa satu setengah tempayan air ke rumah majikannya. Tentu saja si tempayan yang tidak retak merasa bangga akan prestasinya yang dapat menunaikan tugasnya dengan sempurna. Sebaliknya, si tempayan retak yang malang itu merasa malu sekali akibat keadaannya yang tidak sempurna itu. Bahkan ia merasa sedih kerana hanya mampu memberikan setengah dari isi yang seharusnya dapat diberikan.

Setelah dua tahun tertekan oleh kegagalan pahit ini, tempayan retak itu berkata kepada si pengangkut air, “saya sungguh malu pada diri saya sendiri dan saya ingin memohon maaf kepadamu.”
“Kenapa?” Tanya si pengangkut air. “Kenapa kamu merasa malu?” tambahnya lagi.
“Selama dua tahun ini, saya hanya mampu membawa setengah kandungan air daripada yang seharusnya dapat saya bawa ini kerana adanya retakan pada sisi saya telah membuat air yang saya bawa bocor sepanjang jalan menuju rumah majikan kita. Kerana cacatku itu, saya telah membuatmu rugi.” Kata tempayan itu.
Si pengangkut merasa kasihan pada si tempayan retak itu dan dalam belas kasihannya, dia berkata, “jika kita kembali ke rumah majikan besok, aku ingin kamu memerhatikan bunga-bunga indah di sepanjang jalan.” Ketika mereka naik ke bukit, si tempayan retak memerhatikan dan baru menyedari bahawa ada bunga-bunga indah di sepanjang sisi jalan hingga membuatnya sedikit terhibur. Namun di akhir perjalanan, dia kembali sedih kerana mendapati isi tinggal separuh akibat kebocoran padanya. Lantas tempayan retak itu kembali meminta maaf kepada si pengangkut air di atas kegagalannya itu. Melihat rasa bersalah tempayan retak itu, si pengkut air berkata, “apakah kamu memerhatikan di sepanjang jalan sebelah sisimu terdapat bunga-bunga yang subur mekar, sedangkan tidak ada sekuntum bungapun yang wujud di sisi tempayan yang satu lagi di sepanjang jalan. Ini kerana, aku selalu menyedari akan cacatmu, lalu aku memanfaatkannya. Aku telah menanam benih-benih bunga di sepanjang jalan di sisimu dan setiap hari jika kita berjalan pulang dari perigi, kamu mengairi benih-benih itu. Selama dua tahun ini kau telah berjasa kerana aku telah dapat memetik bunga-bunga indah itu untuk menghias meja majikan kita. Tanpa kamu dan kecacatan yang ada ini, sudah tentu majikan kita tak akan dapat menghias rumahnya seindah sekarang.”

Setiap daripada kita memiliki cacat dan kekurangan sendiri. Kita semua adalah tempayan retak. Namun jika kita mahu, Allah s.w.t berkuasa memanfaatkan kekurangan yang ada pada kita untuk mendatangkan kebaikan kepada manusia lain dan makhluk-Nya. Di sisi Allah yang Maha Bijaksana, tidak ada suatu yang ditakdirkan-Nya terbuang percuma atau sia-sia. Oleh itu, jangan rasa bersalah, takut atau rendah diri dengan kekurangan atau kecacatan yang ada pada kita. Apa yang penting ialah cuba berusaha mengenali setiap kelemahan itu dan pastinya kita juga menjadi sebahagian daripada sarana keindahan Allah swt. Ketahuilah bahawa dalam setiap kelemahan kita juga boleh ditemui kekuatan dengan izin Allah swt.

Setiap pembangunan ummat pastinya dimulai dari satu peringkat yang lemah. Kita tidak mungkin mencapai sesuatu terus kepada peringkat yang tertinggi jika ia tidak dimulai dengan sesuatu yang lemah ataupun yang asas. Boleh ke nak membaca kalau huruf a, b , c pun masih tidak kenal dan tak tahu?

Sahabatsejati seringkali teringat kata-kata orang yang terdahulu, sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Ni biasa dengar kalau nak memotivasikan diri supaya menabung kan…tapi bila sahabatsejati fikir punya fikir kata-kata ini bukan saja boleh digunakan untuk menabung tetapi boleh juga digunakan untuk memotivasikan diri dalam kehidupan seharian. Contohnya kalau nak berubah dari sikap yang buruk kepada yang baik mungkin susah bagi sesetengah orang dan mungkin juga senang bagi sesetengah orang. Namun jika perubahan kea rah kabaikan itu dilakukan sedikit demi sedikit dengan istiqomah atau berterusan, insyaAllah akan nampak perubahan yang kita inginkan walaupun nak lakukannya susah…tapi tak mustahil…batu yang keras pun bila ditimpa air lama-lama berubah juga bentuk batu itu. Allah telah menjanjikan kepada kita yang susah itu pasti ada kesenangan.

“ Maka sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan.” (Al-Insyirah : 5-6)

Mari kita muhasabah balik diri kita, sejauh mana kesyukuran yang kita panjatkan kepada yang Maha Esa atas nikmat yang diberikan kepada kita selama ini. Kita dijadikan sebagai sebaik-baik kejadian dan janganlah pula kelebihan yang kita ada digunakan untuk kemudaratan dan kemusnahan. Jadilah insan yang bersyukur dengan menggunakan kelebihan dan kekurangan yang ada untuk lebih mendekatkan diri kepada Ilahi. Sama-sama kita berubah. Sudah tiba masanya berubah.


..................................sahabatsejati........................................

AddThis Social Bookmark Button


 

Design by Amanda @ Blogger Buster