JIKA KAU INGIN…...  

Tuesday, December 30, 2008



Jika kau ingin
Bergelar insan cemerlang
Usah diulang duka dan kehampaan
Bangunkan kesungguhan bersama keyakinan
Allah sentiasa disisi
Pasti sebutir bintang
Tersenyum di kaki malam

Jika kau ingin
Glamor dan diminati
Anyam iman dan ketaqwaan
Bina persahabatan berwarna kebenaran
Menerokai sebuah perjuangan
Bukan merentasi alam mimpi
Disuluhi rahmat dan taufik Ilahi

Jika kau ingin
Menakluk gunung kegemilangan
Cantas akar penghalang!
Tebas akar keraguan!
Bajai tunas-tunas harapan
Sirami kuntum-kuntum bunga kejayaan
Membentangkan kedewasaan iman
Merealisasikan sebuah pengorbanan.

.......sahabatsejati.............

AddThis Social Bookmark Button


Bermulanya Suatu PERUBAHAN  

Sunday, December 28, 2008







Sedar ataupun tidak kita sudah pun memasuki tahun baru 1430H. Sahabatsejati tidak pasti berapa ramai yang tahu dan mengira yang kita sekarang berada pada tahun yang baru hijrah walaupun sambutannya dikalangan anak-anak muda tidaklah sehebat sambutan tahun baru Masihi yang disinari dan dipancari dengan bunga api dan segala macam aktiviti yang kadang-kadang diluar batasan agama. Namun perlu diingat wahai sahabatku bahawa di sinilah bermulanya untuk kita berhijrah dan berubah. Sepatutnya hari inilah kita tanam azam baru untuk berubah kepada yang lebih baik.

Sahabatku jiwailah azam dengan pengorbanan!!

Ungkapan “azam baru” sering di ungkapkan setiap kali menjelangnya tahun baru. Berhasil atau tidak bukan persoalannya. Sesiapa pun boleh berniat untuk memperbaik dirinya dan niat ini wajar dipuji.

Walaubagaimanapun, sikap kurang peduli terhadap tujuan dan kepentingan azam baru menyebabkan azam tersebut menjadi “pekasam” semusim lamanya dan diulang semula pada tahun berikutnya. Hal ini berlaku kerana perubahan yang diniatkan tidak didasari kepada kehendak, kesungguhan, dan keikhlasan untuk berubah.

Melaksanakan azam tidak semudah mengungkapkannya. Merealisasikan azam baru harus mengandungi dua unsur utama: pertama, adanya daya dan tenaga yang terpaksa dicurahkan, kedua, adanya matlamat yang praktikal untuk dicapai. Hal ini ditegaskan oleh Allah swt melalui firman-Nya yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah (nasib) sesuatu kaum itu melainkan mereka mengubah (nasib) mereka sendiri”(Surah Ar-Raad:11)






Apa-apa sahaja usaha untuk memanifestasikan sesuatu azam harus diiringi dengan usaha, semangat, pengorbanan yang tinggi dan akhirnya digauli dengan tawakal kepada Allah.

Perkara terbaik dalam menghadapi tahun baru ini ialah bermuhasabah- bertanya kepada diri kemana haluan selepas ini. Pada masa yang sama mohonlah doa agar diberikan kekuatan jiwa dan semangat untuk berkorban demi merealisasikan azam dalam catatan diari perubahan manusia yang serba baru wataknya.


...................sahabatsejati.................

AddThis Social Bookmark Button


Bersyukurlah Supaya Sentiasa Cemerlang  

Thursday, December 25, 2008




Sahabat-sahabatku yang dikasihi

Sahabatsejati sentiasa mendoakan ketaqwaan kalian. Semoga kalian menjadi sebaik-baik manusia yang membawa kebaikan kepada manusia lain. Perkara terbesar yang sangat sahabatsejati harapkan dari diri sahabatsejati dan kalian ialah-tumpukan seluruh matlamat hidup semata-mata mencari keredhaan Allah. Inilah nanti yang akan menjamin kebahagiaan kalian di dunia dan akhirat. Serta inilah juga yang akan memastikan kalian menjadi insan yang bertanggungjawab kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat serta agama mahupun negara.

Sahabatku yang sentiasa berdisiplin dengan Islam

Sahabatsejati mengerti dan faham tentang cita-cita serta hasrat kalian. Kalian begitu ghairah membina kecemerlangan diri agar dicontohi oleh sahabat seangkatan. Sahabatsejati dapat merasakan itulah kebahagiaan kalian pada usia muda ini. Namaun, usahlah dilupakan satu hakikat yang dapat memelihara kegembiraan yang dikecapi hari ini agar tetap berada di landasan perjalanan yang membawa ke matlamat keredhaan Allah iaitu-Sentiasa Bersyukur.




Ingatlah sahabat-sahabatku

Pada hakikatnya dengan bersyukur, kenikmatan akan kekal dan tetap menjadi milik kita. Sebaliknya, apabila tidak disyukuri, nikmat itu akan hilang dan berpindah tempat. Di samping itu, bersyukur merupakan pengikat nikmat yang diberikan Allah.
Cuba renungi firman Allah dalam surah An- Nahl ayat 112 yang bermaksud:

“Dan Allah telah membuat perumpamaan dengan sebuah negeri yang dahulunya aman lagi tenteram, rezekinya melimpah ruah dari segenap tempat, tetapi penduduknya mengingkari nikmat-nikmat Allah, kerana itu Allah merasakan kepada mereka pakaian kelaparan dan ketakutan disebabkan apa yang selalu mereka perbuat.”

Seterusnya lihat pula firman Allah dalam surah Ibrahim ayat 7:

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memaklumkan, “Sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya aku akan menambahkan (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku) maka pasti azab-Ku sangat berat.”

Sahabat-sahabatku, sedarlah dan usah lalai

Sesungguhnya semua nikmat akan berterusan bilamana kita bersyukur kepada Allah. Seandainya rasa bersyukur itu sentiasa berlangsung dalam kehidupan kita, maka nikmat berkenaan akan bertambah tanpa kita duga. Maksud bersyukur menurut Ibnu Abbas r.a.

“Bersyukur adalah taat dengan segenap anggota badan kepada Allah swt, baik secara sembunyi ataupun terang-terangan serta secara lisan mahupun di dalam hati. Setelah itu sedaya upaya menjauhi maksiat serta kemungkaran.”

Tegasnya kewajipan kita hanyalah bersyukur serta mengagungkan Allah sehingga kita tidak membuat sebarang maksiat. Di samping beroleh nikmat, kadangkala kita juga ditimpa musibah. Dalam hal ini kita mestilah menghadapinya dengan bersabar. Lebih baik jika kita mencontohi sikap Abdullah bin Umar dalam menghadapi musibah,”Aku merasakan ada empat macam kenikmatan dalam berhadapan dengan musibah.

@ musibah itu tidak mematikan iman dan agama meskipun sedih berhadapan dengan kematian ahli keluarga.

@ musibah itu bukan malapetaka terbesar, kerana semasa berhadapan musibah berat, ada lagi musibah yang lebih besar.

@ ada nikmat dikurniakan keredhaan semasa menerima musibah dan

@ nikmat menunggu pahala bersabar”
Ketahuilah musibah tidak bersifat kekal. Dengan bersabar kita akan lebih merasai manisnya nnikmat bersyukur.




Sahabat-sahabatku yang sentiasa gigih

Laksankanlah sepenuh konsep bersyukur dalam aktiviti harian kalian agar sentiasa cemerlang serta dapat membawa kebaikan kepada manusia lain. Akhirnya mirilah sama-sama kita berdoa,

Ya Allah kurniakanlah kami lisan yang lembut basah mengingati dan menyebut nama-Mu, hati yang penuh segar mensyukuri nikmatMu, serta badan yang ringan menyempurnakan ketaatan kepada perintahMu. Ya Allah kurniakanlah kami iman yang sempurna, hati yang khusyuk, ilmu yang berguna dan keyakinan yang mantap. Ya Allah kurniakanlah kami cara hidup yang unggul, selamat dari daripada segala bahaya dan petaka. Kami mohon ya Allah kecukupan yang tidak sampai kami terpaksa meminta jasa orang lain. Berikanlah kami ya Allah iman iman yang sebenarnya sehigga kami tidak lagi gentar atau mengharap orang lain selain daripada Engkau. Kembangkanlah lembayung rahmatMu kepada kami, keluarga kami serta sesiapa sahaja yang bersama-sama kami. Janganlah ya Allah Engkau biarkan nasib kami ditentukan oleh diri kami sendiri walaupun kadar sekelip mata atau sekadar masa yang lebih pendek daripada itu. Ya Allah perkenankanlah permintaan kami. Selawat dan restu Allah untuk junjungan kami Nabi Muhammmad saw ,keluarga serta para sahabat baginda….amin.

.................sahabatsejati......................

AddThis Social Bookmark Button


PERANCANGAN, PERJALANAN, DAN PERJUANGAN  

Tuesday, December 23, 2008


Entah kenapa tiba-tiba sahabatsejati merenung diri dan bermuhasabah kembali apa yang telah sahabatsejati lakukan sepanjang cuti yang kian berakhir ini…sedang kepala masih dibayangi kebimbangan dan kerisauan untuk melihat keputusan exam yang dah pun keluar…macam-macam perkara bermain di fikiran…adakah cutiku hanya sekadar cuti tanpa apa-apa makna?adakah tepat perancangan yang sahabatsejati buat untuk sepanjang cuti ini?

Walau apa pun sahabatsejati merasakan banyak perkara yang sahabatsejati belajar sepanjang perjalanan dan perjuangan semasa cuti ini…apa yang sahabatsejati harapkan agar perjuangan di jalan Allah tidak akan bernoktah hingga selamanya…..ya Allah kuatkanlah semangatku untuk teruskan perjuangan ini. Satu perkara yang menjadi pegangan hati “Allah sentiasa bersamaku”. Sahabatsejati perlu bijak merancang untuk perjuangan kini dan mendatang.’If you fail to plan you plan to fail’. Inilah yang sahabatsejati tatap setiap hari didepan meja studyku. Sahabat-sahabat yang pernah ke bilik sahabatsejati mungkin menyedari tulisan ini yang sahabatsejati tulis awal semester dulu ketika bebanan amanah yang cukup berat berada dibahuku. Perancangan tahun 2008 menjadi penyeri softboard meja studyku. Mungkin kerana ini sahabatsejati merenung jauh menghayati dan merenungi siapa sahabatsejati dihadapan ilahi. Hidup di dunia fana ini banyak onak duri. Sebab itu sahabatsejati memerlukan perancangan rapi agar diri sentiasa diredhai dan dirahmati yang Maha Ilahi. Sahabatsejati tahu yang Maha Esa menciptakan makhluk-Nya ada tujuan tersendiri, bukan main-main dan Dialah yang sebaik-baik perancangan.

“Maka apakah kamu mengira bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu untuk bermain-main (sahaja) dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami, maka Maha suci Allah raja yang sebenarnya tiada Tuhan selain Dia, Tuhan (yang mempunyai) arasy yang mulia.”(Al-Mukminun:115-116).




“Rakan muda wawasan desa” menjadi program pengisian pertama cuti sahabatsejati. Program ini diadakan di Kg. Pimping, Membakut. Inilah program anak angkat pertama yang sahabatsejati ikut sepanjang berada di Sabah ini walaupun kini dah hampir menamatkan pengajian. Banyak benda yang sahabatsejati belajar. Kalau nak sebut memang banyak..

‘Projek Mahasiswa UMS-UUM Berbakti 2008’. Program ini adalah satu program usahasama diantara UMS dan UUM di mana program ini juga merupakan satu lagi program anak angkat dan juga program ke Brunei Darussalam. Program anak angkat kedua yang sahabatsejati ikut iaitu di Kg. Kota, Tuaran.emmm….mungkin Allah makbulkan doa sahabatsejati yang mana sahabatsejati mengatakan dalam diri, sahabatsejati mesti mengikuti sebanyak mungkin program bakti siswa sebelum sahabatsejati menamatkan pengajian untuk mengkaji dan menyelami sendiri masyarakat di Sabah dalam usaha meneruskan perjuangan mardhotillah. Sahabatsejati merasakan dalam hidup ini kita bukan hanya perlu menjadi orang biasa tetapi orang yang luar dari kebiasaan.

“Do more than exist but live, do more than touch but feel, do more than look but observe, do more than read but absorb, do more than hear but listen, do more than think but reflect, do more than just talk but say something”

Brunei Darussalam adalah destinasi kedua selepas Kg. Kota, Tuaran. Sahabatsejati diamanahkan untuk menjadi ahli panel bagi mewakili UMS, manakala saudara Zulfakar atau lebih dikenali dengan nama bob mewakili UUM dan saudari Nur Aizat yang juga merupakan exco kerohanian MPP sesi 2008/2009 mewakili Universiti Brunei Darussalam manakala saudara Hilal pula menjadi perantaranya atau moderator untuk sesi diskusi tersebut dengan tajuk “Pendidikan : Peranan Mahasiswa”. Sahabatsejati rasa begitu berat untuk memikul tanggungjawab ini kerana sahabatsejati bukan hanya membawa nama UMS tetapi juga membawa nama Malaysia itu sendiri. Sahabatsejati percaya sesuatu yang susah itu ada kesenangannya sebagaimana janji Allah dalam surah Al-Insyirah ayat 5-6

‘Maka sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.’

Alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik dan sahabatsejati merasakan diskusi tersebut amat baik kerana sahabatsejati dapat mengetahui bagaimana sistem pendidikan di Brunei dan bagaimana mahasiswanya disana. Satu perkara yang sahabatsejati begitu terkejut dalam keasyikan kami bersembang bersama sahabat dari UBD sebelum tidur bila mana seorang sahabat dari brunei mengatakan mereka disana sangat susah…tersentap juga dibuatnya kerana melihat kepada fasiliti dan kehidupan pelajarnya yang mempunyai satu kereta seorang tuk ke kuliah..apa lagi yang susah? Rupa-rupanya mereka ini susah untuk menghabiskan duit…allahuakbar..semua mereka dapat seolah-olah mereka dibayar oleh kerajaan untuk belajar. Datang hanya untuk belajar tanpa memikirkan masalah kewangan. Itu di Brunei dan ini amat berbeza dengan mahasiswa di Malaysia. Ini merupakan pengalaman yang berharga buat sahabatsejati.

“ Islamic Summer Camp 2008” menjadi perancangan, perjalanan dan perjuangan sahabatsejati. Program ini sahabatsejati ikut setelah balik dari brunei. Malam 12 disember 2008 sahabatsejati selamat sampai di KK dan pagi keesokannya Allah member kekuatan kepada sahabatsejati untuk teruskan perjuangan mengikuti ISC 08 di Kg Kobuni. Walaupun hanya sempat ikut program ini sehari setengah sahaja namun keinginan membara yang ditunjukkan oleh peserta yang terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah di Sabah untuk mendalami islam menyedarkan sahabatsejati bahawa adakah kita ini mempunyai keinginan dan semangat seperti adik-adik ini untuk menyampaikan Islam sedangkan kita adalah mahasiswa?sahabatsejati merasakan diri ini begitu banyak kekurangan dan siapakah diri ini di hadapan ilahi?Ya Allah, berilah kekuatan kepada hambamu ini untuk teruskan perjuangan dan jika aku ditakdirkan mati, matikanlah dalam perjuangan di jalanMu..amin

“Melawat adik Faizul di Hospital Likas”. Program ni baru petang tadi sahabatsejati dan sahabat seperjuangan melawat adik Faizul yang kami kenal semasa program sahabatsejati dan sahabat2 mengadakan program di Hospital Likas semasa puasa baru2 ni…Alhamdulillah gembira bila tgk adik faizul makin baik dan sahabatsejati sempat berkenalan dgn sorang lg adik yg berada di sebelah katil adik faizul iaitu adik sofea yang mengidap penyakit JE.moga2 semua cepat sembuh…

Sahabatsejati tidak pasti adakah cuti sahabatsejati menjadi satu ibadah? Tetapi yang pasti seseorang muslim perlu memenuhi keperluan tubuh badan dan jiwanya dengan berehat sambil bergembira tanpa menghampiri perbuatan dosa. InsyaAllah, hati akan kembali tenang dan fikiran menjadi lapang. Seseorang itu akan menjadi lebih bertenaga dan bersemangat untuk meneruskan kerja dan perjuangan. Dalam hal ini Saidina Ali Abi Talib pernah berkata :

“Sesungguhnya hati itu boleh menjadi bosan seperti badan. Oleh itu, ia (hati) boleh menjadi buta. Katanya lagi, “rehatkanlah hatimu sekadar sedikit kerana hati apabila tidak suka (tidak gembira) boleh menjadi buta”.
Maksud hati menjadi buta ialah hati menjadi kusut, runsing, emosional. Akan berputiklah perasaan yang buruk seperti mudahn menyalahkan orang lain, jemu berbuat baik dan hilang sifat hemah seperti pemaaf, sabar dan berlapang dada.

Abu Dardar juag pernah berkata, “Sesungguhnya akan ku isi hatiku dengan sesuatu yang kosong (relaks dan ringan) supaya lebih dapat membantu menegakkan yang hak.” Maksudnya, beliau akan membawa dirinya sekali-sekala melakukan aktiviti-aktiviti yang boleh menghilangkan kerunsingan atau kerumitan supaya dirinya lebih bertenaga membuat kerja yang berat. Ini kerana kerja yang paling berat ialah menegakkan kebenaran islam di tengah-tengah masyarakat yang jahil dan fasiq.

Adakah perancangan, perjalanan dan perjuangan sahabat sekalian sepanjang cuti menjadi satu ibadah?sama-sama kita renung dan muhasabah diri bersama dalam memberi peringatan membawa perubahan menuju mardhotillah.


………………………..sahabatsejati…………………..

AddThis Social Bookmark Button


AIDILADHA DAN PENGORBANAN…  

Friday, December 5, 2008



Alhamdulillah…Syukur kepada yang Maha Esa kerana kita masih diberi peluang untuk merayakan Hari Raya Aidiladha yang hampir tiba tidak lama lagi… emm….hampir tiba je hari raya aidiladha mesti semua sibuk mencari lembu, kerbau atau mana-mana binatang ternakan yang boleh dijadikan korban tapi mungkin tak ramai yang sibuk mencari dan tertanya-tanya apa dan bagaimana peristiwa yang menyebabkan kita hari ini dituntut untuk berkorban dan melakukan ibadah korban. Mungkin sahabatsejati ingin berkongsi sedikit sebanyak pengetahuan yang ada mengenai aidiladha dan pengorbanan.

Peristiwa yang bersejarah dan agung ini ialah peristiwa korban nabi Ibrahim terhadap anaknya nabi Ismail a.s. Kisah pengorbanan ini adalah satu peristiwa agung dalam sejarah kemanusiaan insan sejagat ini kerana tidak ada satu pengorbanan yang lebih agung daripada ini sehinggakan ia diperingati dan dirayakan setiap tahun. Al-Quran telah mengabadikan kisah pengorbanan agung ini dalam surah Asy-Syafaat, ayat 100-107:

“Ya Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku (seorang anak) yang termasuk orang-orang yang soleh. Maka kami berikannya khabar gembira dengan seorang anak yang amat sabar. Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata,’Hai anakku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi ku bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu?’ Dia menjawab, ‘Hai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insyaAllah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang bersabar.’ Tatkala keduanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipis(nya), (nyatalah kesabaran keduanya). Dan kami panggillah dia, ‘Hai Ibrahim, sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu, sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ini benar-benar sesuatu ujian yang nyata. Dan kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar.”

Kita lihat bagaimana Ibrahim a.s. mendoakan kepada Allah swt, ‘Ya Allah, anugerahkanlah kepadaku zuriat soleh.’ Nabi Ibrahim tidak mempunyai anak sehinggalah dirinya telah mencapai usia yang lanjut. Kita dapat bayangkan perasaan seorang tua yang mendapat anak, tentulah sangat saying kepada anaknya itu. Tiada lain yang ia lebih kasih melainkan anaknya. Tetapi kasihnya pada anaknya tidak lebih daripada kasihnya kepada Allah swt. Ini dapat disaksikan daripada tindakbalas nabi Ibrahim apabila Allah menuntut supaya dikorbankan anak yang disayanginya. Tambahan lagi anak itu sudah besar, boleh menolongnya dan telah berjasa kerana bersama beliau membina Kaabah.

Perintah Allah, bagi nabi Ibrahim a.s. adalah sangat dekat, walaupun Allah swt tidak dapat dilihat. Sebagai seorang yang muhsin (manusia yang ihsan), beliau sensitive dengan perintah Allah maka dilaksanakan perintahNya dengan penuh penyerahan. Tahap penyerahan dan pengorbanan seperti ini bukanlah senang untuk dicapai oleh manusia biasa, kecuali mereka yang selalu berhubung dengan Allah.

Dan bagaimana pula Nabi Ismail a.s. setelah diberitahu oleh bapanya? Dengan rela hati dan beitu tenang sekali dia menyuruh bapanya melaksanakan perinta Allah itu. Tidak terdapat rasa ragu-ragu, takut atau hendak tunjuk berani. Ia jelas memperlihatkan penyerahan langsung kepada kehendak Allah swt. Penyerahan yang dilakukan oleh mereka berdua itulah dinamakan Islam. Dari segi perlaksanaan, tidak sedikitpun rasa syak, malah penuh yakin dengan perintah Allah.

Dalam peristiwa ini Allah sebenarnya bukan menyiksa nabi Ibrahim atau nabi Ismail tetapi Allah hendak menguji sejauh mana keikhlasan dan kesanggupan mereka untuk berkorban demi Allah swt. Manakala telah terbukti keikhlasan dan pengorbanan merka berdua, maka Allah gantikan nabi Ismail dengan seekor kibas. Allah tidak berhajatkan nyawa nabi Ismail a.s.. Keikhlasan yang telah ditunjukkan merupakan kemuncak keikhlasan.

Allah swt mengetahui akan keikhlasan nabi Ibrahim dan nabi Ismail a.s., mereka berdua telah betul-betul Islam (menyerah). Ujian oleh Allah swt telah Berjaya, maka tidak perlu lagi menyembelih nabi Ismail. Begitu jugalah dengan ujian-ujian lain yang Allah berikan kepada orang-orang mukmin. Allah hanya hendak melihat dari segi keikhlasan dan pengorbanan seseorang itu.

Contohnya kita lihat dalam peperangan Tabuk, bagaimana pada mulanya tentera-tentera Islam terasa berat untuk berangkat. Tetapi bagi insan rabbani yang sentiasa beribadah dan patuh kepada perintah Allah mereka turut serta berperang kerana mereka tahu ini adalah perintah Allah. Mereka juga sedar Allah bukan hendak menyiksa orang-orang Islam, tetapi Dia hendak menguji mereka dan memilih yang baik sahaja. Tetapi apa yang berlaku di Tabuk, pihak musuh berpatah balik daripada medan peperangan menyebabkan tidak berlaku peperangan yang dirancang pada awalnya. Kalau musuh sudah berpatah balik, tidak perlulah kita mengejar mereka. Demikianlah keputusan yang telah diambil. Oleh itu, tentera Muslim pun berangkat pulang ke Madinah. Itu merupakan pertolongan dari Allah swt.

Sebenarnya peristiwa Tabuk itu merupakan satu bentuk ujian daripada Allah untuk membuktikan siapa yang benar-benar ikhlas dan siapa yang tidak. Bagi mereka yang tidak ikhlas dan tidak menyerah akan dimurkai Allah dan di akhirat kelak akan meneraima balasan yang berupa siksaan dalam neraka. Sebaliknya bagi merka yang berlaku benar, akan di redhai-Nya walaupun tidak terjadi pertemuan dengan musuh di medan peperangan.
Begitulah juga dengan ujian-ujian yang lain. Sebenarnya bukan Allah hendak menyiksa orang Mukmin. Tidak! Tetapi Dia hendak melihat sejauh mana keikhlasan, kejujuran, kepercayaan, ketaatan, keredhaan, ketenangan, penyerahan yang sebenarnya dan perlaksanaan kita terhadap ajarannya.

Marilah kita meraikan hari raya Aidiladha ini dengan menyuburkan kembali peristiwa korban ini dalam sanubari kita. Kegembiraan kita bukan kegembiraan yang sembarangan dan tanpa sandaran, tetapi kegembiraan kita adalah kerana membesarkan kejayaan nabi Ibrahim dan nabi Ismail as di dalam membuktikan ketaatan mereka terhadap perintah-Nya.


………………………………….sahabatsejati……………………………………………….

AddThis Social Bookmark Button


Siapa AKU Dihadapan TUHANKU  

Tuesday, December 2, 2008


SUBUHNYA….

Dimana aku berada

Masih enak dalam kelambu rindu

Sambil berpoya-poya dengan waktu

Masa bagaikan menderu

Langkah tiada arah tuju

Fikiran terus berlaru

Terlupa aku semakin dihujung waktu

Siapa aku di depan Tuhanku.



ZOHORNYA…..

Aku lebih memikirkan kelaparan

Kehausan dan rehatku

Aku lebih mementingkan

Tuntukan jawatanku

Aku bertolak ansur dengan waktu

Aku gembira membilang keuntungan

Aku terlupa betapa besar kerugian

Jika aku menggadaikan sebuah ketaatan

Siapa aku di depan Tuhanku.

ASARNYA….

Aku lupa warna masa

Cepat berubah bagaikan ditolak-tolak

Aku masih dengan secawan kopiku

Terlupa panas tidak dihujung kepala

Aku masih bercerita

Tentang Si Tuah yang setia

Dan Si Jebat yang derhaka

Siapa aku di depan Tuhanku

MAGHRIBNYA….

Aku melihat warna malam

Tetapi aku masih berlegar

Disebalik tabirnya

Mencari sisa-sisa keseronokan

Tidak rasa ruang masa yang singkat

Jalan yang bertongkat-tongkat

Ruginya bertingkat-tingkat

Siapa aku di depan Tuhanku.

ISYAKNYA…

Kerana masanya yang panjang

Aku membiarkan penat

Menghimpit dadaku

Aku membiarkan kelesuan

Menggangguku

Aku rasa terlena

Sambil menarik selimut biru

Bercumbu-cumbu dengan waktuku

Siapa aku di depan Tuhanku.


Kini aku menjadi tertanya-tanya

Sampai bila aku akan

Melambatkan sujudku

Apabila azan berkumandang lagi

Aku tidak akan membiarkan

Masjid menjadi sepi

Kerana di hujung hidup ada mati

Bagaimana jenazah

Akan dibawa sembahyang di sini

Jika ruangku dibiarkan kosong

Jika wajahku menjadi asing

Pada mentari dan juga bintang-bintang.


Ayuh sahabatku, mari sama-sama kita memakmurkan masjid!Jom solat berjemaah.....

Siapa Aku Di Depan Tuhanku……

………………….sahabatsejati…………………………..


AddThis Social Bookmark Button


KEKURANGAN ITU SATU KESEMPURNAAN…  

Saturday, November 29, 2008


Alhamdulillah…..setiap kali sahabatsejati merenung muhasabah diri dalam memberi peringatan membawa perubahan kepada diri dan sahabat, sahabatsejati memanjatkan seinfiniti kesyukuran kepada Ilahi kerana beruntungnya diri ini dikurniakan pelbagai nikmat yang mana sehingga hari ini masih diberikan nikmat yang terbesar iaitu nikmat iman dan nikmat islam dan diri ini sentiasa berdoa agar jika diri ini mati, matilah dalam keadaan beriman kepada-Mu ya Allah..amin…kita ini perlu bersyukur kerana diberi nikmat anggota yang cukup dan sempurna. Mungkin orang lain tidak mendapat apa yang kita dapat. Walauapa pun, sahabatsejati percaya dan yakin bahawa setiap penciptaan Allah itu ada hikmah yang tersembunyi. Mungkin kita ada kelebihan pada satu sudut atau aspek dan mungkin kurang pada sudut yang lain. Semua itu kehendak Allah dan dibawah perancangan-Nya.

Mungkin hari ini sahabatsejati ingin berkongsi cerita mengenai kekurangan itu adalah satu kesempurnaan untuk sama-sama kita melihat diri dan memotivasikan diri yang mungkin dah basi, kearah keredhaan Ilahi.

Ceritanya begini, seorang pengangkut air memiliki dua tempayan besar. Tempayan tempayan berkenaan tergantung pada kedua hujung sebatang kayu yang dibawa menyilang di atas bahunya. Satu dari tempayan itu retak dan satu tempayan yang satu lagi tidak retak. Tempayan yang tidak retak itu selalu dapat membawa air penuh setelah perjalanan panjang dari perigi ke rumah majikannya sedangkan tempayan retak hanya dapat membawa air separuh daripada isi tempayan itu.

Keadaan ini berterusan setiap hari selama setahun. Si pengangkut air hanya dapat membawa satu setengah tempayan air ke rumah majikannya. Tentu saja si tempayan yang tidak retak merasa bangga akan prestasinya yang dapat menunaikan tugasnya dengan sempurna. Sebaliknya, si tempayan retak yang malang itu merasa malu sekali akibat keadaannya yang tidak sempurna itu. Bahkan ia merasa sedih kerana hanya mampu memberikan setengah dari isi yang seharusnya dapat diberikan.

Setelah dua tahun tertekan oleh kegagalan pahit ini, tempayan retak itu berkata kepada si pengangkut air, “saya sungguh malu pada diri saya sendiri dan saya ingin memohon maaf kepadamu.”
“Kenapa?” Tanya si pengangkut air. “Kenapa kamu merasa malu?” tambahnya lagi.
“Selama dua tahun ini, saya hanya mampu membawa setengah kandungan air daripada yang seharusnya dapat saya bawa ini kerana adanya retakan pada sisi saya telah membuat air yang saya bawa bocor sepanjang jalan menuju rumah majikan kita. Kerana cacatku itu, saya telah membuatmu rugi.” Kata tempayan itu.
Si pengangkut merasa kasihan pada si tempayan retak itu dan dalam belas kasihannya, dia berkata, “jika kita kembali ke rumah majikan besok, aku ingin kamu memerhatikan bunga-bunga indah di sepanjang jalan.” Ketika mereka naik ke bukit, si tempayan retak memerhatikan dan baru menyedari bahawa ada bunga-bunga indah di sepanjang sisi jalan hingga membuatnya sedikit terhibur. Namun di akhir perjalanan, dia kembali sedih kerana mendapati isi tinggal separuh akibat kebocoran padanya. Lantas tempayan retak itu kembali meminta maaf kepada si pengangkut air di atas kegagalannya itu. Melihat rasa bersalah tempayan retak itu, si pengkut air berkata, “apakah kamu memerhatikan di sepanjang jalan sebelah sisimu terdapat bunga-bunga yang subur mekar, sedangkan tidak ada sekuntum bungapun yang wujud di sisi tempayan yang satu lagi di sepanjang jalan. Ini kerana, aku selalu menyedari akan cacatmu, lalu aku memanfaatkannya. Aku telah menanam benih-benih bunga di sepanjang jalan di sisimu dan setiap hari jika kita berjalan pulang dari perigi, kamu mengairi benih-benih itu. Selama dua tahun ini kau telah berjasa kerana aku telah dapat memetik bunga-bunga indah itu untuk menghias meja majikan kita. Tanpa kamu dan kecacatan yang ada ini, sudah tentu majikan kita tak akan dapat menghias rumahnya seindah sekarang.”

Setiap daripada kita memiliki cacat dan kekurangan sendiri. Kita semua adalah tempayan retak. Namun jika kita mahu, Allah s.w.t berkuasa memanfaatkan kekurangan yang ada pada kita untuk mendatangkan kebaikan kepada manusia lain dan makhluk-Nya. Di sisi Allah yang Maha Bijaksana, tidak ada suatu yang ditakdirkan-Nya terbuang percuma atau sia-sia. Oleh itu, jangan rasa bersalah, takut atau rendah diri dengan kekurangan atau kecacatan yang ada pada kita. Apa yang penting ialah cuba berusaha mengenali setiap kelemahan itu dan pastinya kita juga menjadi sebahagian daripada sarana keindahan Allah swt. Ketahuilah bahawa dalam setiap kelemahan kita juga boleh ditemui kekuatan dengan izin Allah swt.

Setiap pembangunan ummat pastinya dimulai dari satu peringkat yang lemah. Kita tidak mungkin mencapai sesuatu terus kepada peringkat yang tertinggi jika ia tidak dimulai dengan sesuatu yang lemah ataupun yang asas. Boleh ke nak membaca kalau huruf a, b , c pun masih tidak kenal dan tak tahu?

Sahabatsejati seringkali teringat kata-kata orang yang terdahulu, sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Ni biasa dengar kalau nak memotivasikan diri supaya menabung kan…tapi bila sahabatsejati fikir punya fikir kata-kata ini bukan saja boleh digunakan untuk menabung tetapi boleh juga digunakan untuk memotivasikan diri dalam kehidupan seharian. Contohnya kalau nak berubah dari sikap yang buruk kepada yang baik mungkin susah bagi sesetengah orang dan mungkin juga senang bagi sesetengah orang. Namun jika perubahan kea rah kabaikan itu dilakukan sedikit demi sedikit dengan istiqomah atau berterusan, insyaAllah akan nampak perubahan yang kita inginkan walaupun nak lakukannya susah…tapi tak mustahil…batu yang keras pun bila ditimpa air lama-lama berubah juga bentuk batu itu. Allah telah menjanjikan kepada kita yang susah itu pasti ada kesenangan.

“ Maka sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan.” (Al-Insyirah : 5-6)

Mari kita muhasabah balik diri kita, sejauh mana kesyukuran yang kita panjatkan kepada yang Maha Esa atas nikmat yang diberikan kepada kita selama ini. Kita dijadikan sebagai sebaik-baik kejadian dan janganlah pula kelebihan yang kita ada digunakan untuk kemudaratan dan kemusnahan. Jadilah insan yang bersyukur dengan menggunakan kelebihan dan kekurangan yang ada untuk lebih mendekatkan diri kepada Ilahi. Sama-sama kita berubah. Sudah tiba masanya berubah.


..................................sahabatsejati........................................

AddThis Social Bookmark Button


BUANG YANG KERUH AMBIL YANG JERNIH  

Saturday, November 22, 2008



Allahuakbar….susah betul untuk mencari ape tajuk yang nak diberikan bila mana teringat sejarah silam dan pengalaman yang pernah sahabatsejati lalui. Alhamdulillah, Allah masih berikan kekuatan kepadaku sementara menunggu azan subuh berkumandang untuk muhasabah diri kearah menghampiri Ilahi. Tapi aku percaya dan yakin bahawa setiap daripada kita tanpa mengira usia, latar belakang dan keturunan pastinya pernah mengalami pengalaman-pengalaman pahit mahupun manis. Mungkin ada yang pernah gagal dalam pelajaran, kematian orang disayangi, kehilangan panca indera, dibuli oleh rakan-rakan, ditimpa kemalangan dan lain-lain pengalaman yang memang tak habis kalau nak ditulis.

Selalunya pengalaman pahit ini mengubah persepsi dan sikap individu daripada periang bertukar pendiam, ceria menjadi duka, aktif menjadi pasif, suka berjenaka menjadi pemarah dan bermasam muka dan banyak lagilah perubahan dari yang baik kepada tidak baik. Namun, sesuatu yang perlu disedari ialah tangisan, kekecewaan, penyesalan dan kesedihan tidak mungkin dapat mengubah kejadian tersebut kerana ia sudah menjadi sejarah. Tiada suatu kuasa didunia ini yang dapat mengubah sejarah kerana masa yang lepas tidak mungkin diambil kembali kecuali yang Maha Berkuasa atas segala-galanya. Apa yang penting sekarang ialah menjadikan sejarah tersebut sebagai titik tolak menuju kejayaan yang lebih cemerlang dan gemilang pada masa hadapan.

Subhanallah….itulah masa. Banyak yang sahabatsejati pernah dengar tentang masa, masa itu emas, masa itu duit, masa itu ibarat pedang dan banyak lagi ungkapan dan pepatah yang menunjukkan betapa pentingnya masa untuk kita hargai dan penuhi..namun apa yang lebih penting adalah peingatan Allah dalam surah Al-‘Asr ayat 1-3 yang bermaksud;

“Demi masa. Sunggguh, manusia berada dalam kerugian,kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran.”

Sahabatsejati selalu berkata pada diri yang lemah ini bahawa apa yang sahabatsejati lakukan adalah bukan sia-sia tapi mendapat sesuatu yang berharga iaitu pengalaman. Pengalaman adalah guru terbaik untuk masa akan datang yang dapat mengajar kita erti kehidupan menuju ketaqwaan kepada yang Maha Esa. Segala kejadian yang menimpa dalam hidup bukanlah penamat kepada kejayaan sebaliknya pencetus mencapai kecemerlangan yang lebih bermakna. Apatah lagi ia mempunyai hikmah yang tidak sedari. Sebagaimana firman Allah dalam surah Al- Baqarah ayat 216 yang bermaksud…….

“…..Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah) Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu) sedang kamu tidak mengetahuinya”.

Jadi apa tunggu lagi…sudah tiba masa untuk berubah. Buang yang keruh ambil yang jernih. Sahabatsejati tahu sesungguhnya mereka yang berjaya ialah yang menjadikan sejarah silam sebagai cabaran untuk terus maju dan berjaya. Al-Quran sendiri menggunakan pendekatan sejarah dalam menyampaikan mesej dan pengajaran. Kisah-kisah para nabi dan umat-umat terdahulu banyak disebut dalam Al-Quran bahkan ada nama-nama surah yang diambil sempena peristiwa sejarah seperti Al-Anfal, Yunus, Ibrahim, Al-Israa’, Al-Kahfi, Maryam, Ar-Rum, Saba’ dan banyak lagi. Kesemua peristiwa sejarah yang disebut di dalam Al-Quran bukanlah sekadar untuk menceritakan semula atau supaya umat akan datang menjejaki semula tempat-tempat sejarah berkenaan. Sebaliknya, ia semata-mata bertujuan untuk diambil iktibar dan pengajaran kepada apa yang telah menimpa umat-umat terdahulu. Lantaran itu, diulang-ulang ungkapan “Apakah kamu tidak melihat”, “Apakah kamu tidak mengambil pengajaran”, “Apakah kamu tidak memikirkannya” dan sebagainya.

Subhanallah….sungguh besar dan agungnya Al-Quran ini tapi tidak ramai yang mengkaji kehebatan Al-Quran ini..

Exam dah habis dah… tunggu result plak…antara gembira atau kecewa…ape2 pun kita bersyukur la ye ape yang kita dapat nanti. Yang penting kita berusaha bersungguh-sungguh, berdoa dan tawakal kepada yang Maha Berkuasa.

GOD doesn’t require you to be “Be the Best”. HE just wants you to “Do your Best” and HE will take care the rest!. Then, SUCCESS is in your hand!.

….ayuh kita perlu bangkit…..bukan renung penyesalan sejarah tapi bangkit mencipta sejarah. Caiyoo!


………………………………sahabatsejati………………………………….

AddThis Social Bookmark Button


SENTIASALAH SIBUK MENDISIPLINKAN DIRI  



Sahabatku yang dikasihi dengan kasih sayang Islam.

Semoga Allah sentiasa memberkati serta merahmati kalian. Juga dibahagiakan dengan keredhaan-Nya. Sentiasa beroleh taufik, hidayah dan keimanan mendalam. Dihiasi ketakwaan yang tinggi yang mampukan kalian mematuhi perintah Allah disamping meninggalkan larangan-Nya.


Sahabatku yang mendamaikan hati serta menyejukkan pandangan!

Jadilah kalian penyuluh ke jalan kebenaran. Elakkan kaki kalian menuju ke lorong maksiat dan keingkaran. Pimpinlah tangan rakan-rakan ke jalan ketaatan serta kejayaan hakiki.

Sahabatku yang sentiasa gigih berusaha!

Dalam kesibukan kalian memburu cita-cita, ambillah sedikit waktu untuk meneliti hakikat kejadian kalian. Renungilah maksud firman Allah dalam surah az- Zariat, ayat 20-21:

“ Dan dibumi itu terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang yakin, dan juga pada dirimu sendiri. Maka apakah kamu tidak memerhatikan?”.

Dengan itu Allah memerintah supaya memikirkan penciptaan diri kita. Untuk apa kita diciptakan? Fikirlah tentang tanda-tanda kekuasaan-Nya dalam penciptaan makhluk-Nya yang lain. Fikirkan tentang penciptaan bumi serta segala yang terkandung di dalamnya. Seterusnya fikirkan tanda-tanda kekuasaaan Allah dalam penciptaan lautan yang mengandungi berbagai kehidupan yang bermanfaat kepada kita. Usah pula lupa untuk memikirkan kekuasaan Allah dalam penciptaan langit. Selidikilah sistem cakerawala supaya kalian merasai keajaiban ciptaan Allah. Sesungguhnya dengan memerhatikan setiap ciptaan Allah akan terbit rasa mengagungkan Allah yang tiada tolok bandingan. Ini akan melahirkan keinsafan di hati kalian seterusnya dapaat menghampirkan diri dengan Allah, menjadikan kalian Muslim dan sentiasa taat kepada perintah Allah.

Sahabatku yang akan mewarisi semula kegemilangan silam!

Sepanjang kesibukan kalian untuk cemerlang dalam pelajaran atau kerjaya, hayatilah maksud firman Allah dalam surah Al-Imran, ayat 191,

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, iaitu orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atu dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi seraya berkata “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari seksa api neraka”.

Oleh itu, sentiasalah meneliti serta menilai kualiti diri kalian kerana kalian tidak dijadikan untuk sia-sia. Adakah semua anggota badan yang Allah kurniakan telah digunakan sebaik-baiknya untuk mentaati Allah? Usahlah cuma mengingati Allah ketika genting sahaja. Fikirkanlah mengenai kewajipan sebagai hamba Allah. Gunakanlah segala kurnia Allah untuk melaksanakan ketaatan kepada-Nya. Terhadap dosa serta kesilapan yang pernah dilakukan, berazamlah untuk tidak mengulanginya. Sentiasalah bertekad untuk melaksanakan ketaatan dengan lebih baik pada masa-masa mendatang.


Sahabatku yang diharapkan menjadi bintang-bintang gemerlapan yang menyinari alam!

Marilah kita renungsebuah riwayat yang membentangkan keberuntungan umat Muhammad s.a.w. Nabi Adam a.s telah berkata, “sesungguhnya Allah kurniakan umat Muhammad empat kemuliaan yang tidak diberikan kepadaku;

# Allah menerima taubatku di Mekah sahaja tetapi umat Muhammad tetap diterima taubat dimana sahaja mereka berada.

# Aku berpakaian, apabila aku engkar dijadikanNya aku telanjang, tetapi umatMuhammad melakukan maksiat dalam bertelanjang tetapi Allah terus beri mereka pakaian.

# Apabila aku melakukan dosa, terpisah aku daripada isteriku tetapi umat Muhammad melakukan maksiat kepada Allah tidak dipisahkan mereka daripada isteri mereka.

# Aku melakukan dosa di dalam syurga dan dikeluarkan darinya, tetapi umat Muhammad melakukan maksiat kepada Allah di luar syurga, dimasukkanNya ke dalam syurga setelah bertaubat.

Sahabatku, akhir kalam renungkan syair ini:

Belajarlah,
Sebab manusia itu tidak dilahirkan terus menjadi alim.
Dan tiadalah orang alim itu dapat disamakan dengan orang jahil.
Sesungguhnya seorang ketua kaum yang tidak berilmu,
Dipandang kecil apabila dikelilingi orang biasa yang berilmu.



……..sahabatsejati……..

AddThis Social Bookmark Button


“Jangan Biarkan Diri Diajar JADI PAK TURUT”  


Tiba-tiba sahabatsejati teringat sebuah cerita yang pernah sahabatsejati baca..mungkin menjadi muhasabah dan panduan diri dalam perjuangan hakiki menuju redha ilahi.Ceritanya begini…….Seorang guru wanita berjilbab rapi kelihatan bersemangat mengajar sesuatu kepada murid-muridnya. Di tangan kirinya ada kapur dan tangan kanan memegang pemadam. Tiba-tiba, sang guru berkata, “ cikgu ada permainan. Begini caranya. Jika cikgu angkat kapur ini, maka berserulah “Kapur!” dan jika cikgu angkat pemadam ini, maka berserulah “ Pemadam!”.
Semua murid mengerti dan setuju mengikut apa yang dijelaskan oleh cikgu itu. Sang guru berganti-ganti mengangkat tangan kanan dan kirinya. Semakin lama dan bertambah cepat. Beberapa saat kemudian berhenti. Kemudian kembali bersuara, “ baik sekarang perhatikan!, jika cikgu angkat kapur maka katakana, “Pemadam” dan bila cikgu angkat pemadam, maka katakanya “Kapur!”.


Selesai penjelasan itu, sang guru mengangkat tangannya berulang kali, berselang-seli menunjukkan kapur dan pemadam. Kali ini, kelihatan murid-murid tadi keliru dan kekok. Mungkin agak kesukaran untuk mengatakan kapur itu pemadam dan sebaliknya. Namun, selang beberapa saat, permainan berhenti. Sang guru tersenyum kepada murid-muridnya. Dia menjelaskan apakah pengajaran di sebalik permainan itu.
“Anak-anak, begitulah kita umat islam, mulanya yang haq itu adalah haq, yang batil itu batil. Perbezaan ini jelas kepada kita, tetapi musuh telah memaksa kita dengan berbagai cara hingga menukar yang haq itu menjadi batil dan sebaliknya. Mungkin pada mulanya kita agak sukar untuk menerima perubahan ini, tapi setelah dibiasakan dan berterusan dengan cara yang menarik, akhirnya rasa kekok itu hilang. Kita boleh ikuti dan lakukan mengikut kehendak musuh kita.
“ Begitulah musuh-musuh pengaruhi pemikiran umat islam. Mereka ini tidak pernah berhenti dalam usaha jahat ini, hingga nilai dan etika hidup kita bertukar kepada apa yang mereka hajat. Buktinya, keluar berpasangan tanpa ikatan sah dan berkasih-kasihan kini tidak lagi dirasa pelik. Perbuatan zina tidak menjadi persoalan serius. Cara berpakaian yang mendedah aurat sudah dianggap lumrah. Semua ini dinilai sebagai hiburan dan trend. Fahaman meterialistik pula menular dan makin sebati dengan budaya hidup masyarakat kita hari ini.

Moga-moga Allah melindungiku, sahabat-sahabatku dan umat islam seluruhnya dan sentiasa diberikan petunjuk, hidayah dan taufik-Nya…amin.

…………………….……….….sahabatsejati……………….…………

AddThis Social Bookmark Button


KUAT KITA KUATLAH UMMAH  

Cuaca dan suasana amat berbeza
Susah nak pasti….
Mengikut Sunnah ia memang bergilir
Silih berganti….
Bagi si mukmin yang cekal lagi berani
Tiada putus hubungannya dengan Ilahi.

Kadang-kadang cuaca cerah dan panas
Semua ceria….
Kadang-kadang pula cuaca gelap dan hujan
Semua slow bersahaja…
Kadang-kadang dia mendung dan gerhana
Keliru dan alpa…
Kadang-kadang dia berkabut dan rebut
Sujud dan doa sahaja..

Apa kesan apa amalan
Tiada yang terbaik melainkan
Sikit-sikit tapi berterusan…
Itulah nasihat Rasul
Itulah pesan.

Kekadang mukmin boleh sempat berbicara,
Kekadang hanya sempat bertanya-tanya,
Kekadang boleh berdoa saja,
Tapi yang pasti…
Ruh ukhwah janganlah dipersenda.

Kekuatan kita bukan pada lahir
Dan ucapan berlirik
Hati yang hidup sentiasa dididik,
Sama ada seorang diri atau sebaliknya,
Pastikan diri tertingkat jangan asyik.

Kuat kita kuatlah ummah,
Lemah kita Ummah dijajah,
Marilah kita tingkatkan islah
Sama ada pada hati, akal, jasad dan ukhwah.

Hati rindu, cemas, sedih, segala perasaan
Maklumlah cuaca buruk dan pelbagai kesan,
Kadang-kadang kita lupa…
Dunia ini memang medan ujian,
Semoga Allah tingkatkan ilmu,
Kesedaran dan amalan.

Ya Allah…
Hidupkan hati-hati kami dengan kenikmatan
Seruan dan mujahadah di atas jalanmu.
Janganlah kau matikan kami
Melainkan dalam keadaan syahadah
Dalam erti yang benar…..amin.
………………………………………..sabahatsejati………………………………………………………………………………..

AddThis Social Bookmark Button


salam ukhuwahfillah....  

Mungkin hari ini mencatat sejarah...sahabatsejati memilih ruang untuk membuka minda bersama sahabat2 dalam mencari redha ilahi..sahabatsejati merasakan perlu berkongsi serba sedikit pengalaman, pelajaran dan pengajaran bersama sahabat, kerana aku percaya peringatan membawa perubahan! jadi buat sahabat2 salam ukhuwahfillah dari sahabatsejati...

“Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati”

Sahabat boleh menentukan corak hidup di dunia mahupun membawa ke akhirat.Jesteru, jika salah memilih sahabat diri merana dan sengsara. Rasullah s.a.w. bersabda

“Seseorang itu adalah mengikut agama temannya, oleh itu hendaklah seseorng itu meneliti siapa yang menjadi temannya” (HR Abu Daud)

Bak kata pepatah Arab:

“Bersahabat dengan penjual minyak wangi, kita akan menerima percikan wangiannya, manakala bersahabat dengan tukang besi, percikan apinya akan mencarikkan baju kita.”

Jadi bagaimana untuk mencari sahabat Ukhuwah Fillah? sahabatsejati teringat satu riasalah yang mencirikan bagaimana seorang sahabat yang baik. Seorang bijak pandai berpesan kepada anak lelakinya. “Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut:

· Jika engkau berbakti kepadanya, dia akan melindungi kamu.

· Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas balik persahabatan kamu.

· Jika engkau memerlukan pertolongan daripadanya, dia akan membantu kamu.

· Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik.

· Jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripada kamu, dia akan menghargai atau menyebut kebaikan kamu.

· Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada kamu, dia akan menutupnya.

· Jika engkau meminta bantuan daripadanya, dian akan mengusahakannya.

· Jika engkau berdiam diri (keran malu hendak meminta), dia akan menanyakan sesusahan kamu.

· Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahan kamu.

· Jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkan kamu.

· Jika engkau merancang sesuatu, nescaya dia akan membantu kamu.

· Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan.

· Dia membantumu menunaikan tanggungjawab serta melarang melakukan perkara buruk dam maksiat.

· Dia mendorongmu mencapai kejayaan didunia dan akhirat.

akhir kalam moga ikatan ukhwah yang terjalin mendapat keredahaan dari-Nya.Wassalam..

---------sahabatsejati--------------------

AddThis Social Bookmark Button


 

Design by Amanda @ Blogger Buster