AIDILADHA DAN PENGORBANAN…  

Friday, December 5, 2008



Alhamdulillah…Syukur kepada yang Maha Esa kerana kita masih diberi peluang untuk merayakan Hari Raya Aidiladha yang hampir tiba tidak lama lagi… emm….hampir tiba je hari raya aidiladha mesti semua sibuk mencari lembu, kerbau atau mana-mana binatang ternakan yang boleh dijadikan korban tapi mungkin tak ramai yang sibuk mencari dan tertanya-tanya apa dan bagaimana peristiwa yang menyebabkan kita hari ini dituntut untuk berkorban dan melakukan ibadah korban. Mungkin sahabatsejati ingin berkongsi sedikit sebanyak pengetahuan yang ada mengenai aidiladha dan pengorbanan.

Peristiwa yang bersejarah dan agung ini ialah peristiwa korban nabi Ibrahim terhadap anaknya nabi Ismail a.s. Kisah pengorbanan ini adalah satu peristiwa agung dalam sejarah kemanusiaan insan sejagat ini kerana tidak ada satu pengorbanan yang lebih agung daripada ini sehinggakan ia diperingati dan dirayakan setiap tahun. Al-Quran telah mengabadikan kisah pengorbanan agung ini dalam surah Asy-Syafaat, ayat 100-107:

“Ya Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku (seorang anak) yang termasuk orang-orang yang soleh. Maka kami berikannya khabar gembira dengan seorang anak yang amat sabar. Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata,’Hai anakku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi ku bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu?’ Dia menjawab, ‘Hai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insyaAllah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang bersabar.’ Tatkala keduanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipis(nya), (nyatalah kesabaran keduanya). Dan kami panggillah dia, ‘Hai Ibrahim, sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu, sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ini benar-benar sesuatu ujian yang nyata. Dan kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar.”

Kita lihat bagaimana Ibrahim a.s. mendoakan kepada Allah swt, ‘Ya Allah, anugerahkanlah kepadaku zuriat soleh.’ Nabi Ibrahim tidak mempunyai anak sehinggalah dirinya telah mencapai usia yang lanjut. Kita dapat bayangkan perasaan seorang tua yang mendapat anak, tentulah sangat saying kepada anaknya itu. Tiada lain yang ia lebih kasih melainkan anaknya. Tetapi kasihnya pada anaknya tidak lebih daripada kasihnya kepada Allah swt. Ini dapat disaksikan daripada tindakbalas nabi Ibrahim apabila Allah menuntut supaya dikorbankan anak yang disayanginya. Tambahan lagi anak itu sudah besar, boleh menolongnya dan telah berjasa kerana bersama beliau membina Kaabah.

Perintah Allah, bagi nabi Ibrahim a.s. adalah sangat dekat, walaupun Allah swt tidak dapat dilihat. Sebagai seorang yang muhsin (manusia yang ihsan), beliau sensitive dengan perintah Allah maka dilaksanakan perintahNya dengan penuh penyerahan. Tahap penyerahan dan pengorbanan seperti ini bukanlah senang untuk dicapai oleh manusia biasa, kecuali mereka yang selalu berhubung dengan Allah.

Dan bagaimana pula Nabi Ismail a.s. setelah diberitahu oleh bapanya? Dengan rela hati dan beitu tenang sekali dia menyuruh bapanya melaksanakan perinta Allah itu. Tidak terdapat rasa ragu-ragu, takut atau hendak tunjuk berani. Ia jelas memperlihatkan penyerahan langsung kepada kehendak Allah swt. Penyerahan yang dilakukan oleh mereka berdua itulah dinamakan Islam. Dari segi perlaksanaan, tidak sedikitpun rasa syak, malah penuh yakin dengan perintah Allah.

Dalam peristiwa ini Allah sebenarnya bukan menyiksa nabi Ibrahim atau nabi Ismail tetapi Allah hendak menguji sejauh mana keikhlasan dan kesanggupan mereka untuk berkorban demi Allah swt. Manakala telah terbukti keikhlasan dan pengorbanan merka berdua, maka Allah gantikan nabi Ismail dengan seekor kibas. Allah tidak berhajatkan nyawa nabi Ismail a.s.. Keikhlasan yang telah ditunjukkan merupakan kemuncak keikhlasan.

Allah swt mengetahui akan keikhlasan nabi Ibrahim dan nabi Ismail a.s., mereka berdua telah betul-betul Islam (menyerah). Ujian oleh Allah swt telah Berjaya, maka tidak perlu lagi menyembelih nabi Ismail. Begitu jugalah dengan ujian-ujian lain yang Allah berikan kepada orang-orang mukmin. Allah hanya hendak melihat dari segi keikhlasan dan pengorbanan seseorang itu.

Contohnya kita lihat dalam peperangan Tabuk, bagaimana pada mulanya tentera-tentera Islam terasa berat untuk berangkat. Tetapi bagi insan rabbani yang sentiasa beribadah dan patuh kepada perintah Allah mereka turut serta berperang kerana mereka tahu ini adalah perintah Allah. Mereka juga sedar Allah bukan hendak menyiksa orang-orang Islam, tetapi Dia hendak menguji mereka dan memilih yang baik sahaja. Tetapi apa yang berlaku di Tabuk, pihak musuh berpatah balik daripada medan peperangan menyebabkan tidak berlaku peperangan yang dirancang pada awalnya. Kalau musuh sudah berpatah balik, tidak perlulah kita mengejar mereka. Demikianlah keputusan yang telah diambil. Oleh itu, tentera Muslim pun berangkat pulang ke Madinah. Itu merupakan pertolongan dari Allah swt.

Sebenarnya peristiwa Tabuk itu merupakan satu bentuk ujian daripada Allah untuk membuktikan siapa yang benar-benar ikhlas dan siapa yang tidak. Bagi mereka yang tidak ikhlas dan tidak menyerah akan dimurkai Allah dan di akhirat kelak akan meneraima balasan yang berupa siksaan dalam neraka. Sebaliknya bagi merka yang berlaku benar, akan di redhai-Nya walaupun tidak terjadi pertemuan dengan musuh di medan peperangan.
Begitulah juga dengan ujian-ujian yang lain. Sebenarnya bukan Allah hendak menyiksa orang Mukmin. Tidak! Tetapi Dia hendak melihat sejauh mana keikhlasan, kejujuran, kepercayaan, ketaatan, keredhaan, ketenangan, penyerahan yang sebenarnya dan perlaksanaan kita terhadap ajarannya.

Marilah kita meraikan hari raya Aidiladha ini dengan menyuburkan kembali peristiwa korban ini dalam sanubari kita. Kegembiraan kita bukan kegembiraan yang sembarangan dan tanpa sandaran, tetapi kegembiraan kita adalah kerana membesarkan kejayaan nabi Ibrahim dan nabi Ismail as di dalam membuktikan ketaatan mereka terhadap perintah-Nya.


………………………………….sahabatsejati……………………………………………….

AddThis Social Bookmark Button


 

Design by Amanda @ Blogger Buster