Bersyukurlah Supaya Sentiasa Cemerlang  

Thursday, December 25, 2008




Sahabat-sahabatku yang dikasihi

Sahabatsejati sentiasa mendoakan ketaqwaan kalian. Semoga kalian menjadi sebaik-baik manusia yang membawa kebaikan kepada manusia lain. Perkara terbesar yang sangat sahabatsejati harapkan dari diri sahabatsejati dan kalian ialah-tumpukan seluruh matlamat hidup semata-mata mencari keredhaan Allah. Inilah nanti yang akan menjamin kebahagiaan kalian di dunia dan akhirat. Serta inilah juga yang akan memastikan kalian menjadi insan yang bertanggungjawab kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat serta agama mahupun negara.

Sahabatku yang sentiasa berdisiplin dengan Islam

Sahabatsejati mengerti dan faham tentang cita-cita serta hasrat kalian. Kalian begitu ghairah membina kecemerlangan diri agar dicontohi oleh sahabat seangkatan. Sahabatsejati dapat merasakan itulah kebahagiaan kalian pada usia muda ini. Namaun, usahlah dilupakan satu hakikat yang dapat memelihara kegembiraan yang dikecapi hari ini agar tetap berada di landasan perjalanan yang membawa ke matlamat keredhaan Allah iaitu-Sentiasa Bersyukur.




Ingatlah sahabat-sahabatku

Pada hakikatnya dengan bersyukur, kenikmatan akan kekal dan tetap menjadi milik kita. Sebaliknya, apabila tidak disyukuri, nikmat itu akan hilang dan berpindah tempat. Di samping itu, bersyukur merupakan pengikat nikmat yang diberikan Allah.
Cuba renungi firman Allah dalam surah An- Nahl ayat 112 yang bermaksud:

“Dan Allah telah membuat perumpamaan dengan sebuah negeri yang dahulunya aman lagi tenteram, rezekinya melimpah ruah dari segenap tempat, tetapi penduduknya mengingkari nikmat-nikmat Allah, kerana itu Allah merasakan kepada mereka pakaian kelaparan dan ketakutan disebabkan apa yang selalu mereka perbuat.”

Seterusnya lihat pula firman Allah dalam surah Ibrahim ayat 7:

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memaklumkan, “Sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya aku akan menambahkan (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku) maka pasti azab-Ku sangat berat.”

Sahabat-sahabatku, sedarlah dan usah lalai

Sesungguhnya semua nikmat akan berterusan bilamana kita bersyukur kepada Allah. Seandainya rasa bersyukur itu sentiasa berlangsung dalam kehidupan kita, maka nikmat berkenaan akan bertambah tanpa kita duga. Maksud bersyukur menurut Ibnu Abbas r.a.

“Bersyukur adalah taat dengan segenap anggota badan kepada Allah swt, baik secara sembunyi ataupun terang-terangan serta secara lisan mahupun di dalam hati. Setelah itu sedaya upaya menjauhi maksiat serta kemungkaran.”

Tegasnya kewajipan kita hanyalah bersyukur serta mengagungkan Allah sehingga kita tidak membuat sebarang maksiat. Di samping beroleh nikmat, kadangkala kita juga ditimpa musibah. Dalam hal ini kita mestilah menghadapinya dengan bersabar. Lebih baik jika kita mencontohi sikap Abdullah bin Umar dalam menghadapi musibah,”Aku merasakan ada empat macam kenikmatan dalam berhadapan dengan musibah.

@ musibah itu tidak mematikan iman dan agama meskipun sedih berhadapan dengan kematian ahli keluarga.

@ musibah itu bukan malapetaka terbesar, kerana semasa berhadapan musibah berat, ada lagi musibah yang lebih besar.

@ ada nikmat dikurniakan keredhaan semasa menerima musibah dan

@ nikmat menunggu pahala bersabar”
Ketahuilah musibah tidak bersifat kekal. Dengan bersabar kita akan lebih merasai manisnya nnikmat bersyukur.




Sahabat-sahabatku yang sentiasa gigih

Laksankanlah sepenuh konsep bersyukur dalam aktiviti harian kalian agar sentiasa cemerlang serta dapat membawa kebaikan kepada manusia lain. Akhirnya mirilah sama-sama kita berdoa,

Ya Allah kurniakanlah kami lisan yang lembut basah mengingati dan menyebut nama-Mu, hati yang penuh segar mensyukuri nikmatMu, serta badan yang ringan menyempurnakan ketaatan kepada perintahMu. Ya Allah kurniakanlah kami iman yang sempurna, hati yang khusyuk, ilmu yang berguna dan keyakinan yang mantap. Ya Allah kurniakanlah kami cara hidup yang unggul, selamat dari daripada segala bahaya dan petaka. Kami mohon ya Allah kecukupan yang tidak sampai kami terpaksa meminta jasa orang lain. Berikanlah kami ya Allah iman iman yang sebenarnya sehigga kami tidak lagi gentar atau mengharap orang lain selain daripada Engkau. Kembangkanlah lembayung rahmatMu kepada kami, keluarga kami serta sesiapa sahaja yang bersama-sama kami. Janganlah ya Allah Engkau biarkan nasib kami ditentukan oleh diri kami sendiri walaupun kadar sekelip mata atau sekadar masa yang lebih pendek daripada itu. Ya Allah perkenankanlah permintaan kami. Selawat dan restu Allah untuk junjungan kami Nabi Muhammmad saw ,keluarga serta para sahabat baginda….amin.

.................sahabatsejati......................

AddThis Social Bookmark Button


 

Design by Amanda @ Blogger Buster